RTB Bagan Datuk Fasa 1 bernilai RM87.6 juta dirancang tangani isu banjir - Ahmad Zahid (Astro Awani : 27 Dec 2025)

Dec 27, 2025
RTB Bagan Datuk Fasa 1 bernilai RM87.6 juta dirancang tangani isu banjir - Ahmad Zahid (Astro Awani : 27 Dec 2025)

IPOH: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk Fasa 1 yang bernilai RM87.6 juta telah dirancang bagi menangani isu banjir di Bagan Datuk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata perancangan tersebut merangkumi kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di Tebuk Semani sepanjang 0.65 kilometer (km), Parit 8 Barat sepanjang 1.25 km dan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh, dengan projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026.

"Pada masa sama, saya turut menegaskan keperluan langkah-langkah jangka pendek dilaksanakan dengan segera... ini termasuk memperkukuh kolaborasi antara agensi khususnya dalam usaha menambah baik lintasan air dan parit sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau berada di Bagan Datuk bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik yang dirancang demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat setempat.

Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh untuk mendengar taklimat berkaitan Projek Tebatan RTB Bagan Datuk.

"Berdasarkan penjelasan yang diberikan, isu banjir di Bagan Datuk berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya taburan hujan tinggi, keadaan semasa lebih 1,900 lintasan air, keadaan sistem saliran sedia ada yang tidak seragam serta topografi kawasan yang menyebabkan takungan air berlaku di beberapa lokasi sehingga mengakibatkan banjir," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut meninjau perkembangan Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA Inc, SILVERSTREAMS serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau FELCRA.

"Pusat data ini diklasifikasikan sebagai Tier IV, iaitu antara pusat data terbesar dan berkapasiti tinggi di Malaysia... insya-Allah, pembangunan pusat data ini bakal membawa manfaat pelaburan, limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada penduduk Bagan Datuk.

"Fasa pertama berkapasiti 10MW dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2027 manakala fasa kedua berkapasiti 25MW akan disiapkan pada tahun berikutnya," kata beliau.

Justeru, Ahmad Zahid berharap kedua-dua projek dapat dilaksana dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan supaya dapat memberi manfaat langsung serta kelebihan jangka panjang kepada rakyat Bagan Datuk sejajar aspirasi pembangunan inklusif dan mampan. -- BERNAMA

___________________

Astro Awani
27 Dec 2025

BUSINESS HIGHLIGHTS

Previous
Next
Dec 27, 2025
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau berada di Bagan Datuk bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik yang dirancang demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat...
Dec 02, 2025
PRIVASIA Technology Bhd has moved into the execution phase of its flagship data centre project in Perak after awarding a RM569mil engineering, procurement, construction and commissioning (EPCC) contract to Inspur...
Nov 12, 2025
PRIVASIA said the project will now be spearheaded by its subsidiary, SILVERSTREAMS Technofarm Sdn Bhd. The subsidiary will be responsible for all aspects of the project, including funding, feasibility studies,...
Dec 11, 2024
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangunan itu turut membuktikan sinergi dan usaha sama strategik antara kerajaan serta swasta yang memberi manfaat kepada Perak dan keseluruhan...
Dec 11, 2024
Mara Inc and ACE Market-listed PRIVASIA Technology Bhd, a business process outsourcing company, are teaming up to develop and operate a data centre in Bagan Datuk, Perak.